Thursday, December 10, 2015

SALAHKAH PAS BUAT SURAU ?




Baru-baru ini saya balik ke kampung isteri saya kira-kira seminggu. Sebenarnya sudah lama saya tak balik ke kampung mertua saya sejak ke dua-dua mereka dipanggil menemui pencipta. Adik beradik isteri saya yang lain semuanya tinggal di bandar dan kami saling kunjung mengunjung. Rumah pusaka yang ada dijaga oleh sepupu isteri saya yang tinggal bersebelahan. Tetapi abang-abang dan adik-adik ipar lelaki saya yang lain sering juga pulang ke kampung menjenguk dan merepair rumah pusaka itu.

Seperti biasa bila balik ke kampung saya akan bersembahyang jemaah di masjid. Di samping itu dapat juga bertemu rakan-rakan sekampung. Kali ini semasa dalam perjalanan ke masjid, saya ternampak beberapa orang kampung yang kelihatannya hendak pergi bersembahyang kat surau yang berada di tepi jalan, tak berapa jauh dari masjid. Saya rasa jaraknya kurang dari 500 meter.

Sesampainya di masjid saya tanya beberapa orang jemaah masjid yang telah sampai lebih awal tentang surau itu. Mereka beritahu saya itu bukan surau tapi markas PAS tapi rekabentuknya serupa macam surau. Saya difahamkan ahli-ahli dan penyokong PAS turut mengerjakan sembanyang berjemaah di situ kecuali sembahyang Jumaat atau hari raya. Sejak terbinanya markas itu, orang kampung  saya sudah berpecah dua dalam mengerjakan solat berjemaah lima waktu.

Sebelum markas itu ada dulu, semua orang kampung saya sembahyang di masjid sedia ada. Tak pernah penuh pun, kecuali pada Jumaat dan hari raya. Biasalah, masjid kampung.

Saya tidak tahu nak kata tentang kewujudan markas (surau) itu. Tetapi dalam hati saya berkata-kata, alangkah baiknya kalau ia tidak di bina.



Friday, April 17, 2015

KALAULAH PAKATAN RAKYAT BENAR-BENAR IKHLAS, DAH LAMA LEBUHRAYA KOTA BHARU - KUALA KRAI SIAP.


Majlis Pecah Tanah pakej 1 Lebuhraya yang bakal menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai telah diadakan pada 7 Rejab 1433H bersamaan dengan 28 Mei 2012.

Kita semua tahu antara negeri di bawah Pakatan Rakyat yang kaya ialah Selangor dan Pulau Pinang. Negeri itu kaya pun bukan sejak PR memerintah tapi telah sedia kaya sejak dulu di bawah Perikatan dan BN lagi. Mereka ibarat dapat pokok yang sudah besar atau berbuah. Cuma perlu bubuh baja dan siram sahaja. Bukan mereka yang tanam.

 
  
Selain cadangan membina terowong menghubungkan pulau dengan tanah besar, kerajaan Pulau Pinang juga sedang merancang untuk membina kereta kabel bagi maksud yang sama. Begitulah kayanya negeri Pulau Pinang.


Kita juga tahu bahawa Negeri Kelantan, adalah negeri yang termiskin di antara negeri-negeri di bawah PR. Kalaulah pakatan mereka benar-benar ikhlas, Kerajaan PR Selangor dan Pulau Pinang boleh membantu Kelantan merealisasikan impiannya mengadakan lebuhraya tanpa tol tersebut sejak lama dulu lagi. Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang misalnya boleh menghulurkan bantuan kepada Kerajaan Kelantan dalam bentuk pinjaman mudah dengan tempoh bayaran balik yang panjang. Atau lebih baik lagi kalau mereka memberi bantuan dalam bentuk derma atau geran.

Kalau ini dapat mereka lakukan dahulu, ia akan menjadi simen yang mengikat ketiga-tiga parti tersebut untuk menghadapi pilihanraya akan datang. Di samping itu, ia juga sudah tentu akan memperlihatkan kepada semua penyokongnya dan juga rakyat Malaysia akan keikhlasan dan kemampuan mereka untuk memerintah negara ini sebagai sebuah pakatan yang padu. Saya percaya ini akan membuatkan para penyokong mereka terus mengundi mereka. Di samping itu saya juga fikir sedikit sebanyak ia juga akan turut mempengaruhi mereka yang tidak menyokong mereka sebelum ini untuk mengundi mereka pada PRU akan datang.
 

Sebaliknya jika mereka terus begini, melepaskan "pucuk" masing-masing, saya tidak berani mengatakan bahawa harapan mereka untuk menawan Putra Jaya adalah cerah.