Monday, April 29, 2013

200 RIBU HADIRI CERAMAH DR. MAHATHIR DI PUTRAJAYA !

Sumber; Sini.

Sebenarnya entri di atas merupakan satu sindiran yang tajam dan pedas dari blogger Pakatan Rakyat kepada BN kerana kehadiran ke majlis anjuran BN tidak seramai bilangan kehadiran ceramah yang dianjurkan oleh mereka. 

Mari kita bincangkan isu ini secara kritis dan cerdik.

Sebelum pergi lebih jauh, saya harus akui hakikat bahawa  kehadiran ke majlis ceramah Husam Musa yang dibuat sebelum itu mengundang kehadiran berpuluh ribu penyokong atau penonton, jauh lebih ramai dari yang hadir ke ceramah anjuran BN ini.

Kalau kita rajin berfikir dan bukan hanya pengikut buta atau kakak tua, cuba jawab dulu soalan-soalan berikut:

1. Berapa ramaikah pengundi yang berdaftar di Putrajaya ?

2. Adakah yang hadir itu termasuk juga pengundi di Putrajaya ?

3. Kalau ya, adakah awak pasti mereka semua akan mengundi  PAS nanti ?

Kalau awak tak ada atau tak tahu jawapannya, tak usahlah terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa riwayat BN akan tamat dalam PRU kali ini. Nanti tak fasal-fasal awak merana bila  hilang wang pertaruhan dan mulalah meracau menyalahkan semua orang.



RAMAI ORANG DALAM PAKATAN RAKYAT SUDAH KASYAF !


 Wajah Putrajaya sebelum berakhirnya riwayat BN .. meh tengok - kata mereka.


Selamat Tinggal Najib Razak - kata yang ini pulak.


 Bye-bye Najib - ucapan dari si dia.

Dari cakap-cakap kedai kopi, ceramah-cermah umum, kain rentang, risalah seterusnya facebook dan blog, amat jelas perasaan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat.  Mereka yakin dan percaya akan menang. Mereka pasti menang. Dan mustahil mereka kalah. Tak masuk akal BN menang kecuali BN, SPR, Polis dan Askar main kotor. Bahkan mereka sudah sampai ke peringkat memikirkan siapa yang akan menggantikan Ketua-Ketua Eksekutif dalam GLC seperti TNB, Telekom, Pos Malaysia dan sebagainya. Perkataan Insya-Allah itu tidak ada dalam kamus mereka. Mereka sudah kasyaf - boleh melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Jadi kalaulah begitu membara keyakinan dan semangat mereka, tiba-tiba parti Pakatan Rakyat diumumkan kalah, adakah penyokong-penyokong mereka dapat menerimanya begitu sahaja? Kalau boleh mereka berlapang dada, Alhamdulillah. Namun dari situasi dan kecenderungan semasa, perkara sebaliknya mungkin terjadi kerana fikiran mereka telah disumbatkan dengan propaganda sejak sekian lama bahawa BN, SPR, Polis dan Tentera telah bersekongkol memainkan taktik kotor untuk mengalahkan mereka. Atas alasan ini mungkin sukar dan pahit bagi mereka untuk menerimanya. Ada orang yang kecewa sanggup membunuh diri kalau tidak dapat melepaskan kemarahan  kepada orang yang mengecewakannya.

Kesimpulannya saya tidak risau sangat kalau PR menang, tetapi saya lebih risau kalau mereka kalah.  Semoga Allah menyelamat negara dan rakyat di bumi bertuah ini dari sebarang malapetaka.

Mungkin ada yang akan bertanya, mengapa saya tidak risau kalau BN kalah ?   Saya serahkan kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat membuat analisis sendiri. Cuma saya nak kata bahawa  BN pernah kalah di lima negeri dalam PRU yang lepas. Ternyata tiada masalah dalam peralihan kuasa.




Sunday, April 28, 2013

ANTARA KEJAYAAN BESAR PAS !



Begitulah bunyi ayat yang diluahkan oleh seorang warga kita kaum India beragama Hindu....

Luahan hati ini taubat lahom tidak akan dihebahkan kepada umum oleh TV3, RTM, Utusan, Berita Harian, Bernama, NSTP maupun The Star ...

Sumber:  Sini.


Ulasan: 

Saya ingatkan sehingga kini PAS telah berjaya menjinakkan atau menambahkan bilangan orang bukan Islam memeluk ugama Islam. Rupanya cakap jer yang berdegar-degar dalam ceramah mereka ke hulu ke hilir selama ini. Buat menghabiskan beras sahaja.

Kalau begitu tak adalah bezanya dengan kerajaan BN.


KENAPA PAKATAN RAKYAT SASAR GURU SAHAJA ?


Imbuhan Guru RM500 sebulan. Nampak tak ?


Seorang yang berfikiran rasional dan kritis tentunya akan bertanya kepada Pakatan Rakyat kenapa imbuhan sebanyak RM500 sebulan hanya dijanjikan kepada guru-guru sahaja. Apakah guru-guru sekarang tidak terbela ? Apakah gaji guru-guru sekarang lebih rendah dari gaji pegawai dari sekim perkhidmatan setara yang lain ? Apakah selama ini nasib dan masa depan guru tidak dijaga oleh kerajaan BN ? 

Kenapa tidak dijanjikan imbuhan kepada pelayan pejabat, jurutaip, pemandu, atendan hospital misalnya ? Kenapa ?

Saya rasa kepada yang terbuka fikiran dan berakal sudah tahu jawapannya. Tentulah kerana bilangan guru adalah yang teramai sekali dalam perkhidmatan awam. Bilangan mereka adalah hampir 500 ribu orang. Jadinya tentulah bilangan undi dari mereka adalah berjuta jika diambil kira juga potensi undi dari pasangan dan ahli keluarga mereka. Jadi kalau dapat dipancing hati guru-guru, tentulah kesannya amat besar. Itu sahaja motifnya.

Jadi adakah janji mereka ikhlas. Rasanya tidak. Mereka hanyalah puak  opportunis yang hanya pandai berjanji semata-mata kerana  undi. Kalau mereka benar-benar ikhlas tentulah janji imbuhan itu disasarkan kepada golongan penjawat awam yang lebih daif dari guru. Tetapi kenapa mereka tidak berbuat begitu? Jawapannya kerana bilangan undi yang akan datang dari penjawat awam selain guru adalah kecil.

Namun mereka bernasib baik kerana penjawat-penjawat awam dari perkhidmatan selain dari guru adalah berfikiran waras. Mereka sedar itu adalah taktik politik ibarat menanam tebu di bibir. Mereka tidak membentuk gerakan untuk menentang Pakatan Rakyat. Percayalah, kalau mereka tidak dapat memberikan imbuhan itu nanti, jika ditakdirkan mereka menang, pelbagai alasan akan diberi. Tapi itu belakang kira, yang penting mereka mahu menang dalam pilihanraya kali ini. Tidakkah mereka sedar akan dosa dan balasan kepada orang atau golongan yang munafik ?

Semoga guru-guru tidak termakan dengan gula-gula dari Pakatan Rakyat ini yang jelas hanya mencari kesempatan atau menangguk di air yang keruh !

Saturday, April 27, 2013

PAKATAN RAKYAT BOLEH MENANG DAN ANWAR IBRAHIM BAKAL JADI PERDANA MENTERI.


Kompleks yang menjadi idaman setiap parti yang bertanding.


Pakatan Rakyat boleh menang dalam PRU kali ini kalau mereka meneruskan gaya atau strategi kempen seperti yang sedang diamalkan sekarang. PAS berkeras ingin melaksanakan hukum hudud jika PR memerintah nanti. Sementara DAP, sekutunya dalam PR pula bermati-matian menentang cadangan pelaksanaannya. Walaupun jelas terdapat pertentangan ideologi yang begitu besar, namun ikatan mereka dalam Pakatan Rakyat terus kukuh dan berjalan terus.

Pada masa yang sama pengikut kedua-kedua parti ini taksub kepada parti dan kepimpinan mereka. Apa sahaja pemimpin mereka kata, akan mereka sokong dan persetujui terutamanya penyokong PAS kerana hati mereka sudah tetap bahawa parti dan pemimpin mereka tidak mungkin salah dan parti lawannya terutama UMNO dalam BN adalah mustahil betul.

Dalam senario ini,  maka penyokong-penyokong PAS akan terus mengundi PAS  memandangkan PAS bertekad memperjuangkan hudud yang menjadi asas perjuangan mereka selama ini.  Pada masa yang sama, para penyokong  bukan Islam dalam DAP pula akan lebih tertarik untuk mengundi  DAP kerana hanya kepada DAPlah tempat mereka meletakkan harapan untuk menentang hasrat PAS yang berkeras untuk melaksanakan hukum hudud. Barangkali itulah sebabnya Pakatan Rakyat sengaja tidak membuat lambang sendiri seperti Barisan Nasional yang menggunakan gambar Dacing sebagai simbolnya kerana lambang parti-parti masing-masig sekarang sudah sebati di hati dan melekat dalam kepala penyokong-penyokong mereka. 

Maka secara tak sengaja (by-default) Pakatan Rakyat akan menang dalam PRU akan datang, bukannya kerana manifesto atau janji mereka itu baik sangat tetapi kerana pertentangan di antara mereka menyebabkan penyokong masing-masing berdiri teguh di belakang parti masing-masing untuk meneruskan agenda masing-masing. Peduli apa kepada persoalan bagaimanakah mereka akan memerintah nanti kerana yang penting pada masa ini adalah mereka menang dalam pilihanraya dan menawan Putrajaya.

Dalam situasi ini, pihak yang akan beruntung ialah PKR kerana mereka ibarat 'gergaji dua mata'. Saya percaya Anwar Ibrahim (INSYA-ALLAH) akan berjaya menjadi Perdana Menteri kerana antara PAS dan DAP masing-masingnya belum mencapai persetujuan dalam menentukan bakal PM. Penyokong PAS mahukan pemimpin PAS menjadi PM dan hasrat ini tentulah ditentang atau paling tidaknya, hasrat PAS itu tidak disukai oleh penyokong-penyokong DAP. Kalau pun DAP terpaksa bersetuju dengan calon PAS menjadi PM nanti, tentulah akan ada perundingan untuk bertolak ansur di belakang pentas di antara mereka bagi membolehkan calon dari PAS diangkat menjadi PM. Ini merupakan satu proses yang leceh dan memakan masa. Jadi adalah lebih cepat dan selamat kalau Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana dia boleh diterima oleh penyokong ketiga-tiga parti dalam Paktan Rakyat secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Friday, April 26, 2013

BERTUAHNYA ROSMAH MANSOR.


Buku kecil yang mengandungi umpatan kepada Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Baru-baru ini saya menerima buku kecil tersebut yang diselitkan di luar pagar rumah saya. Saya tidak tahu pukul berapa ia diselitkan di situ. Ia memuatkan cerita-cerita tentang kejelikan dan keburukan peribadi dan kelakuan Rosmah Mansor.

Semua orang tahu bahawa Rosmah isteri PM tidak bertanding dalam PRU kali ini. Mengapa pulak puak PR bersusah payah mengeluarkan buku kecil menghentam Rosmah. Masa orang BN hentam Mustafa Ali dalam kes video hari itu, tahu pulak mereka marah dengan alasan Mustafa  tidak bertanding.

Semua orang tahu bahawa dosa yang paling awal ditapis di langit pertama ialah dosa mengumpat. Ramai yang gagal. Buku kecil ini tidak syak lagi mengandungi umpatan kepada Rosmah. Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain walaupun perkara itu betul. Kalau tidak betul pula apa yang diceritakan, ia dipanggil fitnah. Saya tidak berani mengatakan buku kecil ini merupakan fitnah kerana saya tiada fakta. Tapi tidak syak lagi ia jatuh di dalam kategori mengumpat itu.

Semua orang tahu bahawa orang yang mengumpat segala pahalanya semasa pengadilan di akhirat kelak akan diberikan kepada orang yang diumpat. Jika pahalanya tidak cukup, dosa orang yang diumpat pula dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Mungkin kerana begitu ramainya orang yang mengumpat Rosmah, Allah akan memasukkan beliau bersama-sama kumpulan awal ke dalam syurga sedangkan orang-orang yang mengumpat dia, walaupun mungkin bersih dari kesalahan lain tetapi sarat dengan dosa mengumpat, menerima nasib sebaliknya.

Mungkin juga kalau Rosmah bertanding saya boleh faham kenapa dia di serang begitu. Nampak sangat orang yang menaja, menyedia dan mengedarkan buku kecil ini sudah terdesak dan bertindak keji dengan mengedarkan buku ini. Keji dari sudut tata susila Melayu lebih-lebih lagi keji dari sudut agama Islam. Ingatlah bahawa Nabi Nuh dan Nabi Luth tetap menjadi Rasul walaupun isteri masing-masing engkar kepada ajaran yang dibawa oleh mereka.

Akhirnya saya perturunkan sebuah Hadis nabi untuk renungan kita bersama:

Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud:

"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"


(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)





Thursday, April 25, 2013

BARU SEKARANG PAKATAN RAKYAT SEDAR ..


INI KALILAH. Panduan Ustaz Azhar Idrus tentang apa yang perlu dibuat semasa pengundian.  Undi untuk meruntuh kezaliman yang sedang berlaku. Sensitif dengan apa yang berlaku walaupun tidak terkena batang hidung sendiri. Sedih dengan kezaliman di sekeliling kita.

Ustaz Azhar juga berkata tak salah kerjasama dengan bukan Islam untuk menyelamat negara ini. Bantuan daripada bukan Islam amat diperlukan di saat negara kita sedang ‘terbakar’.

Sumber sini.

Ulasan.

Baru sekarang Ustaz Azhar Idrus dan juga orang Pakatan Rakyat tahu dan sedar bahawa tidak salah bekerjasama dengan bukan Islam. UMNO dah tahu lama dah sejak tahun 1955 lagi. Lihatlah betapa ketinggalan zamannya orang Pakatan ini.

Di samping itu, jangan dilupakan fakta sejarah. Siapa yang menyebabkan berlakunya  huru-hara pada tahun 1969 dulu ? Adakah orang bukan Islam dalam Perikatan atau orang bukan Islam dalam DAP ? Sejarah tidak boleh diubah dan usah disembunyikan.


KESIAN SAMA DATO' AZNIL NAWAWI.



Saya khuatir dengan kecenderungan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang tidak tahu menghormati pilihan dan pendirian orang lain.

Kenapa bila ada orang sokong BN, tidak boleh tetapi bila ada orang sokong Pakatan Rakyat, boleh. Misalnya Dato' Michelle Yeoh dan juga Dato' Aznil Nawawi teruk dihentam oleh penyokong-penyokong PR apabila kedua-dua mereka menyatakan secara terbuka sokongan kepada BN.

Saya pasti kalau kedua-dua mereka menyatakan sokongan terbuka kepada PR, tentulah mereka berdua akan di anggap orang yang paling baik dan betul di dunia yang wajar dijadikan contoh dan ikutan.

Peliknya mereka melaungkan demokrasi, reformasi dan kebebasan berucap dan meluahkan perasaan. Mengapa pula orang lain tidak boleh berbeza pandangan dan pilihan dengan mereka.

Ini jelas menunjukkan sebahagian besar dari mereka belum faham lagi adab berbeza pendapat.

Kalau begitu apakah tujuan membuat laungan itu ? Lebih baik tuntut kerajaan haramkan sahaja semua parti politik yang ada di Malaysia kecuali parti-parti politk yang bersekongkol dalam Pakatan Rakyat.

Itu belum lagi mereka menawan Putrajaya, kita sudah boleh melihat belang mereka. Kalau ditakdirkan mereka memerintah nanti, saya tidak tahu apa akan terjadi kepada orang-orang yang berbeza pendapat dengan mereka. 



Wednesday, April 24, 2013

LAIN PULAK KATA KARPAL SINGH !




Orang kita cepat seronok kalau melihat bangsa atau kaum lain buat macam kita.

Misalnya kita seronok jika melihat Lim Guan Eng pergi kenduri makan pakai tangan sambil bersila. Adakah dengan berbuat begitu, dia ingin jadi orang Melayu ?

Kalau begitu halnya, bolehlah kita katakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz  bersetuju dengan ugama Budha bila beliau pergi membuat lawatan ke Wat Budha di Kelantan !


Sekarang ini orang PAS tengah seronok kerana DAP sudi menggunakan lambangnya dalam PRU 13 ini. Hinggakan Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Harun Din terpedaya olehnya dengan berkata bahawa PAS telah berjaya menundukkan DAP supaya bersama menyokong perjuangan Islam. Walaupun kemudiannya kenyataan itu dengan segera disanggah oleh Karpal Singh, namun mereka masih lagi tetap percaya dan seronok tak terkira.

Jangan lupa di Indonesia, orang China menggunakan nama Indonesia dan bercakap dalam Bahasa Indonesia. Adakah itu bermakna mereka semuanya bersetuju dengan akidah ugama Islam ?

p/s:  Entri ini sebelum ini adalah berkaitan.



Monday, April 22, 2013

KENAPA ISU INI TIDAK BERAPA DITEKANKAN OLEH ANWAR IBRAHIM ?


Kalau diperhatikan Anwar Ibrahim serta sekutu-sekutunya jarang sekali memainkan isu berkaitan nepotism, pengisytiharan harta dan umur calon.

1. Nepotism. Kenapa dia tak ungkit kes Shahidan Kassim dan adiknya bertanding di Perlis misalnya. Atau Najib dan sepupunya Hishamuddin yang bertanding di Pahang dan Johor. Sebabnya ia akan terpalit kepada Anwar sendiri dengan anaknya, Nik Aziz dengan anaknya, Karpal Singh dengan anak-anaknya dan juga Lim Kit Siang dengan anak dan menantunya.

3. Pengisytiharan harta. Kenapa mereka tidak mendesak sangat pemimpin BN membuat pengisytiharan harta kepada umum. Sebabnya mereka bimbang kalau BN suruh mereka buat dulu, tentu mereka takut kerana pasti ramai di kalangan mereka yang kantoi.

2. Umur calon.  Kenapa mereka tak sentuh sangat umur calon BN yang sudah tua seperti Yap Pian Hon atau Muhyidin Yassin. Sebabnya Tuan Guru Nik Aziz lagi tua dari mereka semua. Bahkan ada juga calon yang OKU di kalangan mereka. Tak tahulah apa kutukan mereka kalau calon OKU itu bertanding atas tiket BN

Sebagai kesimpulan mereka bukanlah bersih sangat atau berprinsip sangat. Mereka cuma pandai mencari isu yang selamat dan memainkannya untuk mendapat pengaruh orang kampung dan orang-orang yang kecewa dalam usaha menjatuhkan BN.

BAGUSNYA JANJI-JANJI PAKATAN RAKYAT.

Macam-macam yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam manifestonya. Samada ia boleh ditunaikan nanti atau tidak, itu belakang kira. Janji boleh menang.  Mari kita lihat sepanduk atau poster yang berkaitan seperti di bawah:


Kalau tak ubah, Malaysia tak selamat ! Siapa kata. Dia orang kata.


Insentif atau Intensif Penjagaan Anak ?


Lebih banyak kebajikan itu macam mana misalnya ?


Selain dari itu, patut juga ditambah dalam janji tersebut, 3 perkara lagi seperti berikut:

1. Elaun RM3,000 sebulan kepada semua mereka yang menganggur.

2. Rumah percuma yang keluasannya tidak kurang dari 1,000 kp bagi semua penduduk yang tidak berumah.

3.Kereta percuma bernilai tidak kurang dari RM30 ribu bagi penduduk yang tidak mempunyai kereta.

Nampak macam mustahil untuk ditunaikan. Sebenarnya tidak mustahil sebab manifesto bukan janji dan janji pulak tidak semestinya dapat ditunaikan !


Saturday, April 20, 2013

KALAULAH PAKATAN RAKYAT MENANG PRU 13 AKAN DATANG !

Pakatan Rakya sudah lama sangsi akan ketelusan dan keberkecualian SPR. Mereka syak SPR menyebelahi atau bersekongkol dengan BN. Pendeknya mereka tidak percaya dan tidak yakin dengan SPR akan berlaku adil dalam mengendalikan PRU. Itu sebab mereka mendesak pemerhati dari negara luar dijemput untuk mengawasi perjalanan urusan pilihanraya kita.

Dan kalau Pakatan Rakyat kalah nanti, kita sudah boleh mengagak apa yang akan mereka perkatakan terhadap SPR.

Lalau saya terfikir, kalaulah Pakatan Rakyat menang dalam PRU akan datangh dan berjaya menawan Putrajaya dalam keadaan mereka tidak percaya kepada SPR, adakah mereka akan terima kemenangan itu ?

Adakah mereka akan kata SPR tidak adil kerana mereka menang?  Tentu sekali tidak.  Contohnya telah dapat kita lihat bila Pakatan Rakyat berjaya menawan beberapa negeri dalam PRU yang lepas.

Jadinya kenapa pulak bila mereka kalah, SPR akan dituduh tidak adil dan hanya bila mereka menang barulah SPR adil, sedangkan SPRnya yang itu juga.

Kalau ia pun ingin bermain poltik, biarlah berprinsip.

Friday, April 19, 2013

APA KATA PAKATAN RAKYAT KALAU INSIDEN INI TERJADI DI MALAYSIA ?



 Sumber:  sini.

Semua orang tahu akan kejadian letupan semasa berlangsungnya marathon di Boston, USA dua tiga hari yang lalu. Dilaporkan setakat ini telah mengorbankan 3 nyawa dan lebih 140 orang mengalami kecederaan.

Apa yang kita boleh belajar dari insiden ini ? Kita dapat perhatikan mereka menghadapinya sebagai orang dewasa dan berakal. Tidak terdengar mereka mengutuk polis yang gagal mengesan sabotaj itu dari awal sedangkan mereka adalah negara kuasa besar yang sangat ketat menjaga keselamatan negara mereka selepas peristiwa 9/11. Mereka ada bajet, mereka ada CIA, FBI dan sebagainya. Pendeknya mereka sebagai 'super power' dalam bidang ekonomi dan ketenteraan tidak berhadapan dengan kekangan sumber kewangan, tenaga atau kepakaran seperti kita.

Tidak juga terdengar seruan agar Menteri Dalam Negeri (atau yang setaraf dengannya) supaya meletak jawatan. Tidak ada puak pembangkang yang mengatakan pemerintah bodoh dan sebagainya. Tidak seperti semasa kita menghadapi dan masih lagi menghadapi peristiwa pencerobohan di Lahat Datu seperti yang pernah disentuh dalam entri ini dan  ini.

Mujurlah setakat ini, dan minta dijauhkan selama-lamanya,  insiden yang serupa tidak terjadi kepada program Le Tour de Langkawi kita. Kalau tidak, saya pasti berbakul-bakul sumpah seranah, membodohkan penganjur, polis dan juga kerajaan kerana gagal membendungnya yang akan dihamburkan oleh pembangkang dan pencacainya.


BOLEHKAN MUKA AARON AZIZ DIGANTIKAN DENGAN MUKA MUSTAFA ALI ?




Bila Dato' Hadi Awang ditanya oleh pemberita berhubung kes video Mustapa Ali, beliau  mengatakan bahawa zaman ICT sekarang ini semuanya boleh dibuat. Ini bermakna beliau tidak percaya bahawa Mustafa Ali terbabit dalam video tersebut. Saya percaya semua pembaca tahu video mana yang saya maksudkan.

Saya sendiri tidak pasti kerana saya tidak mempunyai maklumat dan jahil dalam bidang ICT ini. Mungkin juga cakap Dato' Hadi Awang itu betul. Cuma saya teringin sangat nak menonton hasil kerja orang Pakatan Rakyat yang pakar dalam bidang IT kalau boleh menggantikan muka Mustafa Ali dengan muka Aaron Aziz dalam video tersebut. Atau kalau tak mahu terlibat dengan kerja-kerja lucah, mereka juga boleh menggantikan muka Aaron Aziz dalam filem Ombak Rindu dengan muka Mustafa Ali. Tak payah sampai 11 minit; 5 minit pun cukuplah. Boleh ?

Dalam pada itu, kalau mana-mana pembaca yang tahu ada video, contoh video dari filem Rambo misalnya yang muka heronya telah digantikan dengan muka  Rosyam Nor misalnya, sila beri linknya kepada saya untuk memuaskan hati saya yang tertanya-tanya tentang kebenaran kata-kata Dato' Hadi Awang itu.



Wednesday, April 17, 2013

MEREKA YANG TELAH INSAF.

Kalau saya tengok lepas sorang-sorang pelanggan lama sebuah restoran tu tak mahu makan lagi kat situ kerana makanannya dikatakan tak elok, pasti saya juga turut tidak mahu makan di situ. Tapi hairanya ada juga orang yang tidak peduli atau tak kisah dan tetap juga mahu melangganinya. Begitulah kiasan kepada mereka yang terus menerus menyokong Anwar Ibrahim atau PKR tanpa rasa was-was.


Gambar sebahagian pemimpin PKR yang telah meninggalkan PKR.


Mereka yang telah meninggalkan Anwar Ibrahim
Berikut adalah nama-nama mereka yang menjadi teman rapat dan hulubalang Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim. Bukan calang-calang orang. Mereka ini mempunyai kekuatan tersendiri.

1. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden Parti KeAdilan Nasional)

2. S. Nalla Karuppan (Ketua Bahagian PKR Kepong)

3. Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda PKR)

4. Anuar Shaari (Setiausaha Anwar Ibrahim)

5. Fairus Khairuddin (ADUN Penanti – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang)

6. Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru)

7. Zulkifli Noordin (MP Bandar Baru Kulim)

8. Zainur Zakaria (Bekas peguam bela Anwar, AJK Parti KeAdilan Nasional)

9. Ruslan Kassim (Ketua PKR Negeri Sembilan dan juga Ketua Penerangan PKR)

10. Nell Onn (Ketua Wanita Parti KeAdilan Nasional)

11. Jeffrey Kitingan (Naib Presiden PKR)

12. Marina Yussuf (Naib Presiden Parti KeAdilan)

13. Lokman Noor Adam (Setiausaha Angkatan Muda Keadilan)

14. V. Arumugam (ADUN Bukit Selambau)

15. Mohd Radzi Salleh (ADUN Lunas)

16. Badrul Hisham Abdullah (ADUN Pelabuhan Kelang)

17. Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal)

18. Sallehudin Hashim (Setiausaha Agung PKR)

19. Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor)

20. Muhammad Zahid Md Arip (Naib Ketua Pemuda PKR)

21. Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai)

22. Hamdan Taha (Timbalan Pengarah Pilihanraya Keadilan)

23. Dr Abdul Wahid Ahmad Suhaimie (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang)

24. Jamaludin Abu Hassan (Pemangku Ketua PKR Padang Serai)

25. Mohd Hanafiah Man (Ketua Pemuda Keadilan Perak)

26. Fakhrul Azman Abu Bakar (Exco Pemuda Keadilan)

27. Shamsul Bahari Shamsuddin (Exco Pemuda Keadilan)

28. Rosli Mohd Johar (Naib Ketua Pemuda Keadilan Wilayah Persekutuan)

29. Zainuddin Awang (Exco Pemuda Keadilan Terengganu)

30. Datuk Bujang Ulis (Keadilan Sarawak)

31. Rusli Mohd Shariff (Naib Ketua Pemuda Keadilan Negeri Sembilan)

32. Jeffry Nizam (Exco Pemuda Keadilan Pahang)

33. Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang)

34. Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (ADUN Changkat Jering)

35. Tan Wei Shu (ADUN Bakar Arang)

36. Soraya Sulaiman (Ketua Penerangan Wanita PKR)

37. Roshanita Mohd Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai)

38 . Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak (Naib Presiden PKR) – Updated


Saya ingin bertanya kepada saudara saudari sekalian,
Jika mereka yang di atas, yang pernah menjadi orang kuat dan panglima terkanan Anwar Ibrahim sudah meninggalkan parti PKR dan Pakatan Rakyat, mengapa saudara saudari sekalian yang saya rasa tidak pernah mengenali Anwar secara dekat, yang hanya pernah melihat beliau dari jauh atau hanya dalam televisyen, atau mungkin pernah berjabat tangan hanya sekali dua dengan beliau, masih mahu menyokong Anwar?

Adakah anda semua pemimpin atau ahli-ahli politik bahagian PKR? Adakah saudara saudari pernah makan tengahari dengan Anwar? Saudara saudari pernah berceloteh, bergurau senda dengan beliau? Saudara saudari kenal beliau secara dekat sudah bertahun tahun? Saudara saudari sering berhubung melalui telefon dengan beliau?

Saudara saudari begitu rapat dengan Anwar Ibrahim hingga boleh dengan senang keluar masuk banglo mewah milik Anwar?
Tidak pernah kan?

Jadi mengapa saudara saudari masih ingin menyokong Anwar Ibrahim tatkala mereka di atas yang begitu rapat sekali dengan beliau sudah meninggalkan beliau atas dasar hilang kepercayaan?

Apakah bendanya yang membuat saudara saudari begitu HADAP sekali dengan Anwar Ibrahim hinggakan saudara saudari sekalian masih mempercayai beliau walaupun mereka yang begitu kasihkan Anwar suatu waktu dahulu sudah meninggalkan beliau?

Sumber: Sini

 .............................................................................

Sidek Baba dedah sebab tinggalkan Anwar

KUALA LUMPUR 27 Mac - Tiga tahun lalu, bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba mengejutkan banyak pihak selepas bertindak meninggalkan Ketua Pembangkang itu meskipun lebih 30 tahun bersahabat.
Namun, punca sebenar mengapa beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar meninggalkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak banyak didedah kepada pihak luar.
Malah, media sendiri jarang berpeluang menemu bual Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang bertanggungjawab membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Anwar.
Walau bagaimanapun, hari ini, Sidek akhirnya mendedahkan, masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti antara tiga punca utama beliau bertindak meninggalkan Anwar.
Katanya, sebelum meninggalkan Anwar beliau menyiasat serta menemu bual 28 individu yang sangat rapat dengan Anwar dan kemudian membuat solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk.
"Anwar ketika kami bersama-sama dalam ABIM dulu sentiasa mengingatkan saya bahawa seseorang pemimpin bukan sahaja kena bersih tetapi mesti kelihatan bersih dan saya pegang erat amanat itu sampai sekarang.
"Namun, dalam siasatan selama tiga tahun sebelum meninggalkan beliau, saya dapati terlalu banyak persoalan moral yang melingkari Anwar. Saya pegang kata-kata saya ini kerana kesemua 28 saksi itu masih hidup," katanya.
Sidek berkata demikian ketika ditanya punca sebenar beliau meninggalkan Anwar dalam program Wacana Cuit: Dilema Melayu Moden di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara), di sini hari ini.

Sumber: Sini.


Ulasan: Saya juga hairan kenapa orang yang tidak pernah kenal, tak pernah berjumpa kecuali hanya mengenalinya melalui pembacaan dalam blog dan surat khabar Suara Keadilan serta dengar-dengar cakap orang semasa ceramah, begitu taksub kepada Anwar Ibrahim. Allahu'alam. Perkara ini terjadi kepada adik ipar saya sendiri yang hanya bekerja kampung sebagai penoreh getah yang telah menjadikan Anwar sebagai idolanya. Apa sahaja hujjah atau bukti yang kita berikan, sedikit pun tidak meninggalkan bekas kepada pendiriannya umpama "mencurahkan air ke daun keladi". Usahkan ingin percaya kepada kata-kata kita, malahannya nampaknya dia bertambah yakin kepada Anwar. Kalau saya tunjukkan senarai nama pemimpin PKR telah meninggalkan parti, rasanya dia akan jawab begini ..

"itu adalah mereka yang tidak setia dan tidak punya semangat yang kental dalam perjuangan yang telah berjaya dibeli oleh BN .."




Sunday, April 14, 2013

ANWAR MACAM ORANG JUAL UBAT !


Sumber: Sini.


Syabas Anwar Ibrahim. Anda telah berjaya memecah belahkan orang Melayu. Anda tak ubah bagai seorang penjual ubat yang sangat pandai berkata-kata yang telah berjaya menarik perhatian dan kepercayaan pelanggan. Dan perasaan pelanggan anda memang mudah dibuai dengan khayalan kerana mungkin akibat telalu banyak dan gemar menonton filem Hindustan.

Mungkin benar kalaulah ditakdirkan PR menang nanti, PM tetap orang Melayu dan MB pun tetap orang Melayu.

Tetapi janganlah lupa, di zaman penjajahan British dahulu pun yang menjadi raja juga adalah orang Melayu tetapi raja yang terpaksa akur dengan arahan dari Residen British.  Raja hanyalah pada nama tetapi menjadi boneka atau jurucakap British.

Saya tidak rela sejarah itu berulang tapi kali ini yang memegang 'tali' yang mengawal boneka itu adalah orang lain. Saya lebih rela diperintah oleh mereka yang didakwa kurang warak asalkan kuasa dan ketuanan masih di tangan kita.

Apalah gunanya menang sorak kalau kampung tergadai ?


Sunday, April 7, 2013

MANIFESTO PUN MENIRU ?


Sumber: Sini.


Itulah untungnya orang yang buat dulu. Kalau orang kemudian kebetulan buat benda yang sama, senanglah orang yang buat dulu tuduh orang yang kemudian meniru.

Saya percaya kalau BN yang buat manifesto dulu, tentu pening kepala orang PR membuat manifesto yang tidak meniru BN.

Kadang-kadang satu perbuatan itu secara tabiinya memang begitu. Contohnya kalau orang Yahudi hendak mengeringkan baju yang direndam, dia memerahnya cara yang biasa semua orang buat. Dan bila kita memerah kain sarung kita macam orang Yahudi buat, adakah ini bermakna kita meniru orang Yahudi ?

Atau satu contoh lain, kalau orang PR makan nasi menggunakan tangan, takkanlah orang BN mahu menggunakan kaki supaya tidak dikatakan meniru ?


Friday, April 5, 2013

USAHLAH AIB MENGAIB.

Dengan terbubarnya Palimen dan DUN, maka akan bermulalah kempen politik secara rasmi walaupun secara tidak rasmi sudah bermula sejak lebih 2 tahun dahulu lagi.

Dedah mendedahkan keaiban orang akan bertambah gawat dan menjadi-jadi.
Janganlah kita mulakan mengaibkan pihak lawan,  jika kita tidak mahu pihak lawan membalasnya dengan lebih dahsyat lagi kecualilah kita bersih dan maksum macam nabi.