Friday, April 26, 2013

BERTUAHNYA ROSMAH MANSOR.


Buku kecil yang mengandungi umpatan kepada Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Baru-baru ini saya menerima buku kecil tersebut yang diselitkan di luar pagar rumah saya. Saya tidak tahu pukul berapa ia diselitkan di situ. Ia memuatkan cerita-cerita tentang kejelikan dan keburukan peribadi dan kelakuan Rosmah Mansor.

Semua orang tahu bahawa Rosmah isteri PM tidak bertanding dalam PRU kali ini. Mengapa pulak puak PR bersusah payah mengeluarkan buku kecil menghentam Rosmah. Masa orang BN hentam Mustafa Ali dalam kes video hari itu, tahu pulak mereka marah dengan alasan Mustafa  tidak bertanding.

Semua orang tahu bahawa dosa yang paling awal ditapis di langit pertama ialah dosa mengumpat. Ramai yang gagal. Buku kecil ini tidak syak lagi mengandungi umpatan kepada Rosmah. Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain walaupun perkara itu betul. Kalau tidak betul pula apa yang diceritakan, ia dipanggil fitnah. Saya tidak berani mengatakan buku kecil ini merupakan fitnah kerana saya tiada fakta. Tapi tidak syak lagi ia jatuh di dalam kategori mengumpat itu.

Semua orang tahu bahawa orang yang mengumpat segala pahalanya semasa pengadilan di akhirat kelak akan diberikan kepada orang yang diumpat. Jika pahalanya tidak cukup, dosa orang yang diumpat pula dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Mungkin kerana begitu ramainya orang yang mengumpat Rosmah, Allah akan memasukkan beliau bersama-sama kumpulan awal ke dalam syurga sedangkan orang-orang yang mengumpat dia, walaupun mungkin bersih dari kesalahan lain tetapi sarat dengan dosa mengumpat, menerima nasib sebaliknya.

Mungkin juga kalau Rosmah bertanding saya boleh faham kenapa dia di serang begitu. Nampak sangat orang yang menaja, menyedia dan mengedarkan buku kecil ini sudah terdesak dan bertindak keji dengan mengedarkan buku ini. Keji dari sudut tata susila Melayu lebih-lebih lagi keji dari sudut agama Islam. Ingatlah bahawa Nabi Nuh dan Nabi Luth tetap menjadi Rasul walaupun isteri masing-masing engkar kepada ajaran yang dibawa oleh mereka.

Akhirnya saya perturunkan sebuah Hadis nabi untuk renungan kita bersama:

Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud:

"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"


(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)





No comments:

Post a Comment