Tuesday, May 14, 2013

BETUL KE OTAK ORANG MELAYU PALING MAHAL ?

OTAK ORANG MELAYU PALING MAHAL.

Perhatian: Harap tidak ada salah faham. Entri ini bukan menentang mana-mana individu atau mana-mana parti politk. Yang saya cuba nak tentang ialah mereka yang berfikiran yang sempit, selorong, tertutup, tidak rasional dan gagal menggunakan logik atau komensen (common sense).

........................................................................................

Saya teringat satu jenaka tentang otak yang diceritakan oleh seseorang pada suatu masa yang agak lama dulu. Katanya kalau ada kedai jual otak terpakai, otak siapakah agaknya yang paling mahal ?

Dia kata otak orang Melayu. Sebab apa ? Sebab jarang guna, jawabnya. Lawak itu bukan lawak kosong tapi ia penuh sindiran dan penuh makna. Maknanya kebanyakan orang kita  malas nak berfikir dan menganalisis. Apa yang nampak di depan mata atau didengar di telinga, itulah yang mereka percaya dan terus buat kesimpulan dan yang lebih teruk lagi sampai menyampai. Bila sampai menyampai, benda sejengkal jadi sedepa.

Berikut saya berikan dua contoh dakwaan yang tidak dapat terima oleh akal saya. Saya tidak tahu faktanya dan saya yakin yang mendakwa juga tidak tahu fakta yang tepat. Saya cuma nak bincang dari segi logik secara komensen (common sense). 

Contoh 1: Najib belanja RM58 billion untuk kempen PRU 13.


Mana Ustaz ini dapat angka ini saya pun tak tahulah.
 
Masuk akalkah Najib gunakan RM58 billion untuk kempen PRU 13 ? Bagi saya  dakwaan ini langsung tak masuk akal. Semasa saya bekerja dahulu, saya pernah dipertanggungjawabkan untuk membelanjakan peruntukan sebanyak RM10 billion yang diberi kepada Kementerian tempat saya bertugas. Peruntukan tersebut adalah siling yang perlu dibelanjakan dalam tempoh 5 tahun bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di bawah Kementerian di seluruh Malaysia. 

Memang perit untuk menghabiskannya walaupun dengan bantuan JKR dan juga beratus-ratus konsultan. Itu baru RM10 billion, apalagi kalau sebanyak RM58 bilion dan dibelanjakan pula dalam tempoh bekempen yang singkat.   Sayangnya ada orang kita terus percaya dan sampai menyampaikan cerita ini. Bila kita tanya dari mana dan macamana engkau dapat angka sebanyak itu, dia akan jawab "entahlah .. aku dengar orang cakap je".

Mereka tidak pulak bertanya, kalau BN dikatakan membelanjakan sebanyak RM58 billion untuk kempen pilihanraya, berapa banyak pula yang dibelanjakan oleh Pakatan Rakyat ?  RM10 billion atau RM5 billion? Dan dari manakah sumber wang sebanyak itu ?

Terlalu banyak blog politik yang membuat rumusan tentang satu perkara berdasarkan prasangka bukan berdasarkan fakta atau fikiran yang rasional dan kritis. Saya percaya ada  sebahagian blogger yang hanya bertujuan meningkatkan kunjungan ke blognya dengan menerbitkan berita sensasi agar menghasilkan pendapatan yang lumayan dari iklan yang diperagakan. 

Contoh 2: 60 ribu warga Sabah masuk mengundi di Selangor dan Johor.



60 ribu warga Sabah masuk mengundi di Selangor dan Johor, dakwa penulis blog ini.
Ini satu lagi dakwaan yang tak masuk akal. Orang balik Haji pun sudah sesak airport. Ketibaan mereka berjarak kira-kira sebulan.  Cubalah bayangkan kalau 60 ribu orang masuk ke Malaysia dalam tempoh kira-kira  seminggu. Setelah saya congak-congak,  ia memerlukan sekurang-kurangnya 300 penerbangan sewa khas,  untuk membawa mereka datang dan menghantar mereka pulang. 
Kemudian mereka perlu diangkut dengan bas untuk dihantar ke destiniasi. Ia memerlukan sekurang-kurangnya 1,500  buah bas untuk tujuan tersebut. Kalau benar, tentulah jalan raya di Selangor dan Johor akan dipenuhi dengan bas-bas yang digunakan untuk mengangkut 60 ribu orang itu. Mereka juga perlu diberi tempat penginapan. Saya fikir tentulah tidak cukup semua bilik hotel yang ada di Selangor dan Johor untuk menampung mereka. 

Lagi sekali akal saya tidak dapat menerima dakwaan ini. Kalau gunakan komensen (common sense) pun sudah jelas dakwaan ini adalah temberang. Sayangnya ada juga orang yang percaya. Akibat terlalu percaya, ramailah misalnya pekerja Bangla dan Nepal yang nak balik ke asrama mereka selepas tamat bekerja di kilang kena belasah.

Tuan besar mereka yang menggembar-gemburkan pembohongan ini, tidur nyenyak dirumah atau hotelnya sedangkan pengikut mereka silap-silap kena tidur dalam lokap atau penjara.

Saya terlalu ingin percaya tuduhan dari Pakatan Rakyat adalah benar tapi saya perlukan bukti.  (Entri ini ada mengajarkan cara-cara mengumpul bukti). Kalau tak ada bukti yang lengkap, sekurang-kurangnya tuduhan itu biarlah masuk akal dan boleh diterima oleh komensen. Bukan semua orang boleh diperbodohkan pada setiap masa. You can fool some people sometimes. But you can't fool all the people all the time. Kalau anda mahu percaya, terserah tetapi saya belum lagi.

Seterusnya lihatlah gambar-gambar pemimpin-pemimpin kita untuk renungan mereka yang tak ada kerja lain, melainkan nak membelasah puak lawan.

 







Sumber: Sini.



No comments:

Post a Comment